Thursday, March 19, 2009

MB Harap Adun BN Tingkat Disiplin

SHAH ALAM, - Tindakan sebilangan besar Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) yang tidak menyertai hari terakhir persidangan dewan undangan negeri hari ini dianggap tidak menunaikan tanggungjawab.

Dato’ Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata sebagai wakil rakyat, antara tanggungjawab mereka adalah membahaskan isu berkaitan rakyat di dalam dewan.

“Saya harap (mutu) disiplin mereka ini mesti dipertingkatkan pada masa akan datang,” katanya dalam sidang media selepas persidangan Dun petang tadi.

Abdul Khalid berkata Adun Pakatan Rakyat (PR) telah menunjukkan kematangan dalam perbahasan sepanjang enam hari persidangan berlangsung.

Katanya, selain meluluskan Rang Undang-undang Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor 2009, persidangan kali ini turut meluluskan empat usul yang dibawa Adun PR.

Keempat-empat usul berkenaan ialah pertama, mengiktiraf kebebasan kerajaan negeri dan anak-anak syarikat membuat sumbangan sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial kepada mana-mana pihak yang difikir sesuai, kedua menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat semua aduan rasuah dan salah guna kuasa secara meluas dan bebas berdasarkan merit tanpa memilih kes tertentu.

Usul ketiga ialah mendesak kerajaan persekutuan akur dan mengutamakan hak serta kepentingan rakyat Selangor dan Kuala Lumpur dalam rundingan pembelian semula pengurusan air dari syarikat-syarikat konsesi dan keempat ialah menggesa kerajaan negeri mengatasi keadaan ekonomi yang semakin merosot demi kepentingan rakyat.

Mesyuarat pertama penggal kedua kali ini turut membahaskan usul tergempar mengenai usaha Pejabat Pembangunan Negeri Selangor yang menjalankan program ‘People Centric’ untuk meningkatkan sokongan rakyat kepada kerajaan persekutuan dengan menjatuhkan imej dan kredibiliti pemimpin dan kerajaan negeri.

Mengulas mengenainya, Abdul Khalid berkata walaupun tindakan itu boleh dibuat oleh BN, tetapi ia adalah satu bentuk kesalahan tatatertib pegawai kerajaan yang tidak seharusnya berlaku.

“Menggunakan pegawai-pegawai yang dibayar (gaji) melalui cukai negara (untuk program) ini adalah satu kesalahan tatatertib,” katanya.

NOOR ALLIA KASSIM

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...