Friday, June 13, 2008

Selepas air, Kerajaan Selangor janji banyak lagi faedah

SHAH ALAM: Sempena 100 hari penubuhan kerajaan Selangor yang baru, Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim dijangka mengumumkan beberapa lagi langkah untuk memenuhi falsafah berkongsi pendapatan negeri dengan rakyat, terutama yang berpendapatan rendah.

Antara yang telah dikenal pasti ialah penubuhan Tabung Warisan Bayi Selangor dan lembaga kebajikannya sendiri untuk menyalurkan bantuan secara terus kepada yang memerlukan, termasuk pelajar.

Menurut Setiausaha Politik kepada Khalid, Nik Nazmi Nik Ahmad, langkah-langkah baru bagi menyokong pemberian rebat air untuk membantu penduduk Selangor menghadapi cabaran baru berikutan kenaikan harga minyak akan diumumkan Menteri Besar pada 20 Jun ini.

Melalui Tabung Warisan Bayi Selangor, kerajaan negeri bercadang menyediakan peruntukan dan bantuan kepada semua bayi yang berdaftar dan ia dibuka untuk semua bayi yang dilahirkan pada atau selepas Jan tahun ini.

"Maklumat lanjut dan program-program lain akan kita perkenalkan untuk berkongsi pendapatan dengan rakyat akan dibuat sempena kemuncak perayaan 100 hari pemerintahan Pakatan Rakyat di Selangor, yang akan kita adakan di Stadium Malawati di sini.

"Turut sama pada majlis itu nanti ialah penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presidennya Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Penasihat DAP Lim Kit Siang dan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini, hari ini.

Pada sambutan itu, kata beliau, kerajaan negeri akan membuka satu kios khas di mana ibu bapa boleh mendaftarkan bayi mereka untuk menikmati faedah yang akan disediakan melalui tabung berkenaan.

Ditanya mengenai mekanisme tabung itu, terutama sama ada ibu bapa perlu mencarum dalamnya, Nik Nazmi yang juga ahli Dewan Undangan Negeri Seri Setia berkata, semua itu akan diumumkan oleh Khalid nanti.

Jelas beliau, kerajaan negeri sangat serius untuk berkongsi pendapatannya dengan rakyat seperti yang telah terbukti dengan pemberian secara percuma 20 meter padu air kepada semua penduduk Selangor mulai Isnin depan.

Perkongsian itu, tegasnya, terutama bantuan yang akan disalurkan melalui lembaga kebajikan kerajaan negeri itu akan dibuat berasaskan keperluan seseorang tidak mengira latar belakang agama atau bangsa.

Sebagai langkah proaktif berikutan kenaikan harga barangan, tambah Nik Nazmi, kerajaan negeri telah pun membeli beras secara pukal yang akan diagihkan kepada mereka yang layak bersempena sambutan itu.

Oleh SA'ODAH ELIAS : mSTAR Online

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...