Tuesday, July 8, 2008

Membujur Lalu Melintang Patah

Sambutan rakyat di Pulau Pinang begitu hebat dan sangat menggalakkan. Saya tegar mencabar dan mendesak para pemimpin UMNO yang angkuh menuduh saya kononnya pengadu domba kepada kerajaan Amerika Syarikat. Jangan hanya pandai mereka cerita tatkala minda rakyat lebih arif menentukan antara yang dongeng dan sandiwara.

Telah saya jelaskan pada ribuan pejuang yang hadir bahawa isu fitnah keatas saya tidak harus menyimpangkan matlamat asal dan maudhuk utama kita didalam Pakatan Rakyat, iaitu membentuk kerajaan. Sudah terang lagi bersuluh, isu bangkrup yang direka-sarya ini terpaksa dijolok-jolok media tunggangan Barisan Nasional untuk mengkaburi isu krisis harga minyak yang membelenggu tengkuk dan poket marhaen jelata. Jangan lupa, ramai yang sudah bersedia pada bila-bila masa untuk menyeberang ke Pakatan Rakyat.

Ayuh, bersama kita fokus, terus maju ke arah September. Jangan dibiarkan yang korup terus memerintah. Jangan lagi di biarkan petualang terus menabur racun dan menuba minda. Rakyat telah bangkit dan kini telah tiba masa untuk perubahan. Tulang empat kerat ini tidak akan sesekali berundur! Ayuh! Membujur lalu melintang patah!

ANWAR IBRAHIM

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...