Tuesday, July 22, 2008

Jelajah Menuju Harapan Baru - Johor


Siri Jelajah “Menuju Harapan Baru” membawa saya ke Sri Gading, Johor semalam. Mesej saya konsisten: Perubahan harus terus mara dan jangan berhenti!

Kita sudah menerangkan betapa tambahan RM 5 bilion ke atas subsidi yang sedia ada pasti dapat mengurangkan harga minyak sebanyak 50 sen. Mekanisme untuk tujuan itu sudah saya terangkan semasa debat tempoh hari dan juga dalam ceramah sebelum ini.

Antara pra-syarat untuk perolehan RM 5 bilion ialah dengan memastikan tidak wujud lagi ketirisan dan korupsi dalam pelaksanaan projek-projek kerajaan. Selain itu ketelusan, kebertanggungjawaban dan keadilan haruslah menjadi agenda utama.

Pemerintah seperti tidak komited dengan agenda ini. Paparan berita dalam media milik Umno-BN hanyalah sekadar laungan kosmetik. Yang ditangkap dan dihukum hanyalah ikan bilis sedangkan ikan jerung yang merampok dibiarkan bebas.

Saya turut menyentuh isu-isu terkini berkaitan fitnah liwat serta keengganan saya pada ketika ini untuk tidak memberi sampel DNA kepada pihak polis. Alasan bahawa DNA saya sudah terlalu lama ternyata mengelirukan dan jelas dangkal walhal mengikut pakar-pakar perubatan, data DNA boleh bertahan untuk jangka waktu yang cukup lama.

Saya mengerti nasihat ulamak, para peguam serta pakar perubatan agar saya tidak menyerahkan sampel DNA. Ini menguatkan keyakinan kemungkinan pemalsuan bukti-bukti sepertimana yang berlaku pada tahun 1998 akan berulang. Langkah berjaga-jaga perlu terutamanya ketika berpencak melawan musuh yang licik lagi zalim ini!

Ditenun kain dengan kapas,
Bermacam-macam warna ragi,
Perahu lilin layar kertas,
Berani kulanggar lautan api.

ANWAR IBRAHIM

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...