Monday, July 21, 2008

Isu Anwar - Kecewa dengan sikap Ibrahim Ali

Oleh W. Fauzdin NS

Saya pernah menyuarakan rasa tidak puas hati dan ragu terhadap Ahli Parlimen (Bebas) dari Pasir Mas, Dato' Ibrahim Ali terhadap komitmen beliau selaku MP yang menyokong pendirian Parti Pakatan Rakyat. Namun surat rasa ketidakpuasan hati saya tidak disiarkan di sini, dan saya tidak tahu mengapa. Mungkin untuk menjaga imej Dato' Ibrahim Ali sebagai MP Bebas yang di`sedekah'kan kerusinya oleh PAS dalam Pilihanraya Umum ke 12 yang lalu.

Saya sebenarnya semenjak sebelum Pilihanraya Umum Ke 12 lagi kurang bersetuju dengan tindakan PAS menyerahkan kerusi Parlimen Pasir Mas kepada Dato' Ibrahim Ali kerana saya kurang yakin beliau mampu memperkuatkan kerjasama sesama parti Pakatan Rakyat. Tetapi, mungkin atas kebijaksanaan atau timbangrasa kepimpinan PAS khususnya di Kelantan, kerusi Parlimen Pasir Mas diamanahkan untuk Dato' Ibrahim Ali. Saya akhirnya berharap Dato' Ibrahim Ali akan berubah dan tidak lagi mempunyai dendam kesumat dengan mana-mana pemimpin dari parti Pakatan Rakyat.

Saya ingin menyenaraikan sedikit kekeliruan saya terhadap beberapa tindakan atau kenyataan dari Dato' Ibrahim Ali yang saya rasa boleh dikongsi bersama sebagai menilai samada Dato' Ibrahim Ali benar-benar boleh membantu kerjasama di antara parti-parti di dalam Pakatan Rakyat.



1. Sewaktu isu minyak ingin diperdebatkan di dalam Parlimen, beberapa MP dari Pakatan Rakyat telah menunjukkan protes mereka secara `simbolik' terhadap kerajaan. MP-MP yang terdiri daripada wakil dari PAS, KeAdilan Rakyat dan DAP telah menaiki basikal ke Parlimen. Ini adalah protes secara sukarela dan peribadi kerana tiada arahan kepimpinan untuk berbuat demikian. Mereka-mereka ini telah mendapat kepujian daripada semua MP Pakatan Rakyat. Tindakan mereka telah kecaman dan ejekan daripada MP Kerajaan. Malang sekali, Dato' Ibrahim Ali juga terlibat di dalam memperlekehkan tindakan protes oleh MP-MP tersebut dan menganggap satu perbuatan hipokrit. Malah Dato' Ibrahim Ali secara lantang mencabar mereka untuk terus menaiki basikal ke Parlimen. Ini kah kebijaksanaan Dato' Ibrahim Ali? Apa salah mereka? Adakah mereka menyusahkan rakyat? Sekiranya Dato' Ibrahim Ali tidak sanggup seperti mereka, janganlah diperlekehkan tindakan sukarela yang mereka ambil.



2. Apabila satu ketika semua MP dari Pakatan Rakyat memboikot keluar dewan apabila usul tidak diterima oleh Speaker, hanya Dato' Ibrahim Ali yang sanggup berada bersama MP dari BN di dewan.



3. Sudah acap kali MP Pasir Mas ini bertegang urat sesama MP dari Pakatan Rakyat sehinggakan beberapa perkataan yang hina keluar dari mulut sesama mereka. Mengapa ini berlaku? Tidakkah ada kebijaksanaan di dalam menegur sesama kawan?



4. Apabila DS Anwar dituduh dengan perbuatan liwat, DS Anwar telah berkurung di Kedutaan Turki sementara waktu demi keselamatan. Dato' Ibrahim Ali lantang menyatakan mengapakah DS Anwar takut untuk keluar. Sekiranya DS Anwar takut, beliau secara sinis menyatakan sanggup untuk menemani DS Anwar sehingga ke Balai Polis atau di dalam lokap sekali pun. Mengapa beliau tidak mahu mendapatkan penjelasan terlebih dahulu dari pimpinan KeAdilan Rakyat mengapa tindakan itu diambil oleh DS Anwar? Mengapa terus memberi komen yang boleh menghiris hati keluarga DS Anwar dan penyokong-penyokongnya? Apabila DS Anwar keluar, di bawa ke Balai Polis, ditahan dan dilepaskan semula, di mana Dato' Ibrahim Ali yang dikatakan sanggup tidor bersama DS Anwar di dalam lokap?



5. Kini, isu DNA DS Anwar pula menjadi sasaran beliau. Semua media melaporkan kenyataan Dato' Ibrahim Ali yang menyatakan DS Anwar terlalu banyak berdolak-dalik sehingga menghilangkan kepercayaan rakyat terhadap Pakatan Rakyat. Semenjak bila Dato' Ibrahim Ali menjaga kekuatan Pakatan Rakyat? Benarkah kepercayaan rakyat kini hilang terhadap DS Anwar? Bahkan, semenjak isu liwat dan DNA ini timbul, sambutan rakyat bertambah hebat terhadap DS Anwar. Selepas beliau dibebaskan baru-baru ini, ceramah beliau di Melaka dan Pahang mencipta sejarah dengan kehadiran berlipatkali ganda dari sebelum pilihanraya umum yang lalu. Mengapa begitu? Kerana rakyat tidak lagi bodoh dan menilai sesuatu dengan akal. Mungkin Dato' Ibrahim Ali masih belum membersihkan hatinya dari dendam kesumat terhadap DS Anwar semenjak dahulu lagi. Peristiwa semenjak pemecatan DS Anwar dari TPM dan UMNO 10 tahun lampau, mengingatkan saya betapa Dato' Ibrahim Ali turut memainkan peranan ke hulu dan ke hilir menghina dan mengaibkan DS Anwar. Sehinggakan ceramah beliau di Kg Baru telah diejek dan di boo oleh penyokong-penyokong reformasi ketika itu. Akhirnya, beliau sendiri turut difitnah, tetapi hanya sekadar dibuang dari Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas. Beliau begitu marah dan memasuki Pilihanraya Umum sebagai calon bebas tetapi beliau kalah dalam pertandingan 3 penjuru ketika itu. Beliau berceramah ke hulu ke hilir memberitahu beliau dipecat dari Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas akibat fitnah. Baru beliau tahu akibat difitnah betapa sakitnya, itu pun hanya hilang jawatan Ketua UMNO Bahagian sahaja dan beliau difitnah tidak sampai mengaibkan beliau. Sewajarnya Dato' Ibrahim Ali insaf tetapi sehingga kini beliau tidak insaf dan tidak menyedari kemenangannya dalam pilihanraya umum yang lalu adalah kerjasama erat parti di dalam Pakatan Rakyat.



Masih banyak lagi tingkah laku Dato' Ibrahim Ali yang bagi saya akan meruntuhkan ikatan di dalam Pakatan Rakyat. Saya sedar beliau bukan ahli dari mana-mana parti, tetapi tingkah laku dan perbuatannya sedikit sebanyak menghuris hati pengundi-pengundi yang memilih beliau, kerana beliau mesti ingat yang tidak berparti hanya beliau tetapi pengundi-pengundi banyak yang mempunyai parti masing-masing. Saya mengharap agar di masa akan datang, pimpinan Pakatan Rakyat tidak lagi membenarkan mana-mana kerusi diwakili oleh calon yang tidak mempunyai parti. Ini adalah kerana, tanpa parti, mereka akan hanyut ibarat perahu tanpa layar.





W.FAUZDIN NS

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...