Thursday, May 29, 2008

Usul Bantah ISA Lulus: 20 Adun BN Tiada

SHAH ALAM, – Semua 20 wakil rakyat Barisan Nasional (BN) tidak hadir ketika usul tergempar mengkritik Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) diluluskan buat pertama kali di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.


Usul itu dibuat sebagai membantah penahanan berlanjutan Adun Kota Alam Shah, M Manoharan. Beliau yang menang atas tiket DAP, ditahan di kem Kamunting, Taiping, sejak Disember lepas.

Usul tersebut dibawa Adun Kampung Tunku dari DAP Lau Weng San dan dibahaskan sejak 6 petang hingga hampir 9 malam.

Usul itu berbunyi; “Bahawa Dewan ini menetap untuk mengkritik penahanan Yang Berhormat Tuan M Manoharan, Adun kawasan Kota Alam Shah serta pemimpin -pemimpin Hindraf (Barisan Bertindak Hak-hak Hindu) dan aktivis-aktivis sosial yang lain tanpa perbicaraan bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan menyeru Kementerian Dalam Negeri membebaskan tahanan-tahanan ini.”

Ia diluluskan sebulat suara oleh DUN Selangor tepat jam 9 malam. Semua Adun BN tidak menyertai perbahasan itu.

Manoharan dan empat lagi pemimpin Hindraf - P Uthayakumar, V Ganabatirau, R Kengadharan dan K Vasantha Kumar - ditahan pada 13 Disember selepas terbabit menganjurkan perhimpunan 25 November lalu.

Usul itu disokong dan dibahaskan oleh enam wakil rakyat, termasuk dua bekas tahanan ISA - Dr Mohd Nasir Hashim (PKR-Kota Damansara) dan Shaari Sungib (PAS-Hulu Kelang).

Dalam ucapan usulnya Lau, yang juga setiausaha DAP Selangor, juga menyifatkan akta tersebut sebagai bercanggah dengan prinsip Islam.

“Misalnya, ia bercanggahan dengan prinsip-prinsip kebenaran dan keadilan seperti yang diterangkan dalam al-Quran, iaitu ayat 58 surah an-Nisa', ayat 15 surah as-Syura dan ayat 90 surah an-Nahl,” kata Lau.

“Penahanan seseorang tanpa perbicaraan merupakan satu bentuk pencabulan hak asasi manusia yang patut dikutuk dan dikritik sekeras-kerasnya, khususnya dalam kes ini di mana seorang wakil rakyat telah dinafikan hak dan kebebasannya untuk menjalankan tugasnya sebagai seorang wakil rakyat.” – FARUSH KHAN

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...