Tuesday, May 27, 2008

MB dan Exco BN buat pengisytiharan harta



SHAH ALAM, Isnin 26 Mei: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini berkata, tiada dokumen rasmi menunjukkan Menteri Besar serta Exco kerajaan negeri sebelum ini membuat pengisytiharan harta.

Beliau berkata, hanya ada surat daripada Ketua Setiausaha Sulit bertarikh Disember 1999 dan September 2000 kepada Menteri Besar ketika itu yang meminta semua Exco dan wakil rakyat mengisytiharkan harta.

"Bagaimanapun tiada dokumen rasmi membuktikan ianya diserahkan kepada Menteri Besar. Sepatutnya semua dokumen rasmi dimasukkan dalam fail rasmi kerajaan dan direkodkan mengikut prosedur yang ditetapkan.

"Ini kerana, fail rasmi hanya boleh dilupuskan selepas mendapat persetujuan Jabatan Arkib Negara," katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri Selangor ke 12 di sini, hari ini.

Katanya, jika fail-fail itu dilupus, ianya mesti mendapat persetujuan Jabatan Arkib Negara.


Ketika menjawab soalan Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo (BN-Sungai Panjang) Abdul Khalid berkata, Menteri Besar dan Exco sekarang sudah membuat perisytiharan harta masing-masing pada 8 Mac lalu.

Menurut beliau, kerajaan negeri pakatan rakyat terpaksa menggunakan contoh Borang Pengisytiharan Harta Ahli Parlimen Kerajaan (APK104).

Katanya, borang APK 104 itu didapati tidak sesuai untuk wakil rakyat di Selangor dan kerajaan negeri terpaksa menyediakan borang pengisytiharan harta dengan khidmat daripada firma perakaunan, Ernst & Young.

"Kita sudah menyerahkan senarai harta semua wakil rakyat dan Exco untuk diteliti dan semakan oleh firma berkenaan sebelum diumumkan kepada umum," katanya.

Mengenai rasional pengisytiharan harta anak berumur 21 tahun ke bawah, Abdu Khalid menjelaskan, perkara itu tidak termasuk dalam borang APK 104, tetapi kerajaan menjadikannya sebagai salah satu untuk mengelak anak wakil rakyat dan Exco ada kepentingan peribadi dengan kerajaan negeri.


Sementara itu, Dr. Mohamad Khir ketika ditemui berkata, ketika mentadbir Selangor, beliau menyerahkan borang pengisyhtiharan harta kepada Perdana Menteri dan Ketua Setiausaha Negara (KSN) setiap tahun dan bukannya kepada kerajaan negeri.

Katanya, penyerahan borang berkenaan sama seperti diwajibkan kepada setiap kakitangan awam yang lain dan kandungannya turut meliputi maklumat individu serta ahli keluarga.

"Kita serah borang isytihar harta kepada pihak Perdana Menteri, KSN kerana mereka adalah ketua pentadbir dan kita hantar tiap-tiap tahun.

"Sebab itulah kita tidak buat rekod di peringkat kerajaan negeri kerana kita hantar kepada kerajaan pusat kerana kita Menteri Besar dan Exco juga adalah penjawat awam," katanya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...