Thursday, May 29, 2008

Usul Bantah ISA Lulus: 20 Adun BN Tiada

SHAH ALAM, – Semua 20 wakil rakyat Barisan Nasional (BN) tidak hadir ketika usul tergempar mengkritik Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) diluluskan buat pertama kali di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.


Usul itu dibuat sebagai membantah penahanan berlanjutan Adun Kota Alam Shah, M Manoharan. Beliau yang menang atas tiket DAP, ditahan di kem Kamunting, Taiping, sejak Disember lepas.

Usul tersebut dibawa Adun Kampung Tunku dari DAP Lau Weng San dan dibahaskan sejak 6 petang hingga hampir 9 malam.

Usul itu berbunyi; “Bahawa Dewan ini menetap untuk mengkritik penahanan Yang Berhormat Tuan M Manoharan, Adun kawasan Kota Alam Shah serta pemimpin -pemimpin Hindraf (Barisan Bertindak Hak-hak Hindu) dan aktivis-aktivis sosial yang lain tanpa perbicaraan bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan menyeru Kementerian Dalam Negeri membebaskan tahanan-tahanan ini.”

Ia diluluskan sebulat suara oleh DUN Selangor tepat jam 9 malam. Semua Adun BN tidak menyertai perbahasan itu.

Manoharan dan empat lagi pemimpin Hindraf - P Uthayakumar, V Ganabatirau, R Kengadharan dan K Vasantha Kumar - ditahan pada 13 Disember selepas terbabit menganjurkan perhimpunan 25 November lalu.

Usul itu disokong dan dibahaskan oleh enam wakil rakyat, termasuk dua bekas tahanan ISA - Dr Mohd Nasir Hashim (PKR-Kota Damansara) dan Shaari Sungib (PAS-Hulu Kelang).

Dalam ucapan usulnya Lau, yang juga setiausaha DAP Selangor, juga menyifatkan akta tersebut sebagai bercanggah dengan prinsip Islam.

“Misalnya, ia bercanggahan dengan prinsip-prinsip kebenaran dan keadilan seperti yang diterangkan dalam al-Quran, iaitu ayat 58 surah an-Nisa', ayat 15 surah as-Syura dan ayat 90 surah an-Nahl,” kata Lau.

“Penahanan seseorang tanpa perbicaraan merupakan satu bentuk pencabulan hak asasi manusia yang patut dikutuk dan dikritik sekeras-kerasnya, khususnya dalam kes ini di mana seorang wakil rakyat telah dinafikan hak dan kebebasannya untuk menjalankan tugasnya sebagai seorang wakil rakyat.” – FARUSH KHAN

Wednesday, May 28, 2008

Semak arah kiblat 28 May

SEMAKAN ARAH KIBLAT DIRUMAH & PEJABAT
MELALUI KAEDAH ISTIWA' MATAHARI DI KA'BAH
Matahari akan berada tegak di atas Ka¢bah pada 28 MEI 2008,Hari Rabu (5.16 PETANG) & 16 JULAI, Hari Rabu (5.28 PETANG)

APAKAH ITU ISTIWA' MATAHARI?

Istiwa utama matahari atau istiwa A'zam di Ka'bah merupakan fenomena di mana matahari akan berada tepat di titik zenit (ghayah) ketika istiwa. Peristiwa ini akan berlaku dua kali dalam setahun, apabila nilai sudut isiwa matahari (mel syams) akan bersamaan engan nilai latitud Mekah, di mana Ka'bah terletak.

Apabila istiwa utama matahari berlaku, bayang objek tegak di tempat lain akan menunujukkan arah ke Ka'bah. Fenomena ini merupakan kaedah tradisional falak untuk menyemak dan menentukan arah kiblat dari tempat-tempat lain di muka bumi.

PANDUAN MEMBUAT SEMAKAN ARAH KIBLAT :

1. Dirikan satu objek lurus seperti tiang sebaik-baiknya di tanah lapang.

2. Pastikan tiang tersebut tegak dan lurus. Bagi menyemak ketegakkannya boleh diletak tali yang diikat pemberat dihujung tiang berkenaan.

3. Tempat yang dipilih untuk tujuan ini tidak terlindung dari sinar matahari.

4. Penyemakan arah kiblat perlu dibuat tepat mengikut waktunya. Sila rujuk waktu JAKIM (contoh: Waktu di televisyen)

PERANAN DAN TANGGUNGJAWAB

1. Setiap orang Islam digalakkan untuk melakukan semakan ketepatan arah kiblat di tempat kediaman dan ibadah masing-masing bagi mengesahkan ketepatan arah kiblat.

2. Setelah semakan di buat dan terdapat sebarang kesilapan, sila betulkan mengikut arah yang betul, dan hubungi Bahagian Falak Syarie, Jabatan Mufti Negeri Selangor.

3. Oleh kerana fenomena ini berlaku sebelah petang di Malaysia , bayang tiang akan jatuh ke arah timur. Dengan itu, arah kiblat ialah yang menghadap ke arah barat.






PENENTUAN DAN PENYEMAKAN ARAH KIBLAT MELALUI FENOMENA ISTIWA' UTAMA MATAHARI DI KA'BAH







ULASAN :

Istiwa' utama matahari di Ka'bah (istiwa a'dzam) merupakan fenomena dimana matahari akan berada tepat di titik zenith (ghayah) ketika istiwa. (matahari berada tepat di atas Ka'bah).

Di Malaysia, fenomena ini berlaku 2 kali dalam setiap tahun iaitu pada :-

1. Pada 28 Mei jam 5.16 petang dan,

2 Pada 16 Julai jam 5.28 petang


Bagi masyarakat umum atau imam/nazir masjid dan surau boleh memanfaatkan fenomena ini untuk menyemak dan menentukan arah kiblat samada di rumah, masjid atau surau dan mana-mana tempat sembahyang.

Caranya ialah :

1 Dirikan satu objek lurus seperti tiang, sebaik-baiknya di tanah lapang.

2 Ketika Istiwa' matahari berlaku, bayang objek tegak (yang berlawanan)akan menunjukkan arah kiblat.

3 Oleh kerana fenomena ini berlaku sebelah petang di Malaysia , maka bayang tiang akan jatuh ke arah timur, oleh itu bayang yang menghadap ke arah barat (Ka'bah) merupakan arah ke kiblat.

4 Setelah semakan dibuat dan jika terdapat sebarang pembetulan, sila berhubung dengan Pejabat Agama Islam Negeri.

Tuesday, May 27, 2008

Hampir 3000 Kilang Haram Di Selangor

SHAH ALAM, 27 Mei (Hrkh) - Kerajaan Pakatan Rakyat mewujudkan Jawatankuasa Khas Kilang-kilang Tanpa Kebenaran (JKKTK) bagi mengatasi masalah kewujudan kilang haram di seluruh negeri Selangor.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Kampung Baru dan Penyelesaian Kilang Haram, Ean Yong Hian Wah, dianggarkan 2,805 kilang haram di Petaling 1236, Klang 556, Gombak 37, Hulu Langat 658,Kuala Langat 209, Hulu Selangor 14, Kuala Selangor 35, Sepang 44 dan Sabak Bernam 16 buah.

"Kewujudan kilang haram itu bukan sahaja memberi kesan kerugian terhadap kutipan hasil cukai tetapi ia lebih pada pencemaran alam sekitar," katanya menjawab pertanyaan daripada Adun Sungai Pelek, Yap Ee Wah dalam sesi soal jawab lisan, sidang DUN semalam.

Menurut beliau, JKKTK bertanggungjawab mengenal pasti kilang-kilang tanpa kebenaran dan mengklasifikasikan mengikut kategori serta menempatkan semua kilang-kilang tanpa kebenaran ke lokasi yang ditetapkan.

JKKKTK juga katanya, bertanggungjawab mengezonkan semula kawasan industri terlibat bagi membolehkan kilang beroperasi secara sah serta menggalakkan keadaan kilang teratur selamat dan tidak mencemar. - mr

MB dan Exco BN buat pengisytiharan harta



SHAH ALAM, Isnin 26 Mei: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini berkata, tiada dokumen rasmi menunjukkan Menteri Besar serta Exco kerajaan negeri sebelum ini membuat pengisytiharan harta.

Beliau berkata, hanya ada surat daripada Ketua Setiausaha Sulit bertarikh Disember 1999 dan September 2000 kepada Menteri Besar ketika itu yang meminta semua Exco dan wakil rakyat mengisytiharkan harta.

"Bagaimanapun tiada dokumen rasmi membuktikan ianya diserahkan kepada Menteri Besar. Sepatutnya semua dokumen rasmi dimasukkan dalam fail rasmi kerajaan dan direkodkan mengikut prosedur yang ditetapkan.

"Ini kerana, fail rasmi hanya boleh dilupuskan selepas mendapat persetujuan Jabatan Arkib Negara," katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri Selangor ke 12 di sini, hari ini.

Katanya, jika fail-fail itu dilupus, ianya mesti mendapat persetujuan Jabatan Arkib Negara.


Ketika menjawab soalan Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo (BN-Sungai Panjang) Abdul Khalid berkata, Menteri Besar dan Exco sekarang sudah membuat perisytiharan harta masing-masing pada 8 Mac lalu.

Menurut beliau, kerajaan negeri pakatan rakyat terpaksa menggunakan contoh Borang Pengisytiharan Harta Ahli Parlimen Kerajaan (APK104).

Katanya, borang APK 104 itu didapati tidak sesuai untuk wakil rakyat di Selangor dan kerajaan negeri terpaksa menyediakan borang pengisytiharan harta dengan khidmat daripada firma perakaunan, Ernst & Young.

"Kita sudah menyerahkan senarai harta semua wakil rakyat dan Exco untuk diteliti dan semakan oleh firma berkenaan sebelum diumumkan kepada umum," katanya.

Mengenai rasional pengisytiharan harta anak berumur 21 tahun ke bawah, Abdu Khalid menjelaskan, perkara itu tidak termasuk dalam borang APK 104, tetapi kerajaan menjadikannya sebagai salah satu untuk mengelak anak wakil rakyat dan Exco ada kepentingan peribadi dengan kerajaan negeri.


Sementara itu, Dr. Mohamad Khir ketika ditemui berkata, ketika mentadbir Selangor, beliau menyerahkan borang pengisyhtiharan harta kepada Perdana Menteri dan Ketua Setiausaha Negara (KSN) setiap tahun dan bukannya kepada kerajaan negeri.

Katanya, penyerahan borang berkenaan sama seperti diwajibkan kepada setiap kakitangan awam yang lain dan kandungannya turut meliputi maklumat individu serta ahli keluarga.

"Kita serah borang isytihar harta kepada pihak Perdana Menteri, KSN kerana mereka adalah ketua pentadbir dan kita hantar tiap-tiap tahun.

"Sebab itulah kita tidak buat rekod di peringkat kerajaan negeri kerana kita hantar kepada kerajaan pusat kerana kita Menteri Besar dan Exco juga adalah penjawat awam," katanya.

Sekitar DUN Selangor

DUN Selangor Luluskan Peruntukan Tambahan 127 juta.

Dewan Undangan Negeri Selangor hari meluluskan sejumlah RM127,483,000.00 bajet tambahan peruntukan pembangunan bagi tahun 2007. Bajet tambahan ni bertujuan menampung pembayaran pelbagai Jabatan Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Perbendaharaan, JKR serta sejumlah peruntukan perbendaharaan luar jangka, di bawah Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2007) 2008 , semua peringkat.


Peruntukan ini antara lain menampung kekurangan akibat keborosan dan terlebih belanja kerajaan yang lalu pimpinan Khir Toyo. Dengan kelulusan ini pelbagai projek yang dilaksanakan oleh kerajaan yang lalu terutama semasa PRU ke 12 akan dapat dibayar dengan segera.

Selain itu usul perlantikan Ahli-ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang Kerajaan negeri Selangor juga telah diluluskan. Usul perlantikan JK Pilihan Khas mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Special select committee and Transperancy - SELCAT) juga diterima sebulat suara tanpa bantahan ahli- ahli Dewan.

Selangor haramkan Islam hadhari

Kerajaan Selangor telah mengarahkan pengharaman sebarang program untuk menyebarkan Islam hadhari, tafsiran agama yang dikembangkan sejak Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menjadi perdana menteri.

Pengerusi jawatankuasa hal ehwal agama negeri Datuk Dr. Hassan Mohamed Ali berkata, semua masjid dan surau diarah tidak lagi dibenarkan mengadakan program yang menyentuh konsep Islam yang diperkenal sejak empat tahun lalu, lapor laman web Utusan Malaysia.

“Kita haramkan Islam hadhari di Selangor ini kerana Islam yang kita amalkan dulu dan hari ini tidak berubah dan sudah cukup.

“Oleh yang demikian, kita mahu sandarkan ajaran Islam sebenar untuk memerintah Selangor ini dan bukannya Islam Hadhari,” beliau dipetik sebagai berkata pada sesi penggulungan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Memorandum Anti ISA.

Sementara itu, satu kumpulan bertindak anti ISA (GMI) berhimpun diluar DUN Selangor menyampaikan memorandum mendesak pembebasan semua tahanan ISA. Di dalam DUN pula usul tergempar pembebasan tahanan ISA juga dibahaskan.

Dalam kenyataannya, Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid menegaskan bahawa Kerajaan Selangor akan membantu keluarga tahanan ISA kelurag tahan ISA yang terlibat

Persidangan kali ini akan berlarutan hingga lewat malam untuk menyelesaikan pelbagai isu yang berbangkit. ST 7.35 pm

Monday, May 26, 2008

Berintegriti, Antara Kriteria AJK Masjid dan Surau Baru



SHAH ALAM, 23 Mei – Ahli jawatankuasa baru masjid dan surau yang akan dilantik tidak lama lagi bakal terdiri daripada mereka yang berwibawa, mengutamakan integriti, amanah dan ikhlas dalam menjalankan tugas.
Ketika menjawab pertanyaan Dr Abd Rani Osman (Pas-Meru) dalam sesi soal jawab persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pagi tadi, Dr Hasan Mohamed Ali berkata senarai pegawai dan pentadbir masjid sudah disediakan pihaknya.Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam berkata perbincangan juga sudah dibuat dengan Dato’ Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) berhubung perkara itu sebelum mendapatkan perkenan Sultan Selangor.Dr Hasan berkata ahli jawatankuasa yang akan dilantik itu nanti akan diberi pendedahan dengan Program Pembangunan Insan.“Kita akan latih mereka menjurus kepada semangat takut kepada Allah,” katanya.Beliau menambah, kerajaan negeri juga akan mewujudkan e-khutbah sesuai dengan era baru pemerintahan kerajaan Pakatan Rakyat.“Khutbah sepatutnya menjadi corong ilmu dan membangkitkan semangat jihad berkobar-kobar,” katanya yang mahu merealisasikan masjid online di seluruh Selangor dalam waktu terdekat ini. – MURIZA ABDUL HAMID

Thursday, May 22, 2008

UBI KAYU

Demo Ubi Kayu

Petang tadi, Ahad 18/5/08, waktu tu saya on the back dari Penang; sampai kat tengah Pekan Padang Serai yang memang dah biasa sibuk setiap hari Ahad sebab ada Pekan Hari kat situ, anak saya habag kata kat depan tu macam ada orang tengah dok buat demo.

Sebut aja demo, terus saya teringat sms yang Apit hantar kat saya semalam, dalam sms tu Apit, sahabat saya full-time buat bendang (walaupun miliki Diploma) ada bagi tau pasal ada org nak buat demo tak puas hati pasal harga beras dan barang naik harga. Antara lain Apit tulis, demo yg akan diadakan tu bukan anjuran mana-mana parti politik, tapi cetusan rasa tak puas hati drpd penduduk-penduduk sekitar Padang Serai.

Saya tengok jam baru aja pukul 3.00 petang, ikut plan demo itu akan berlansung sampai 3:30 ptg. So, saya pun rush balik hantar anak-anak, kemudian patah balik mai, pi join depa demo.

Bila tengok sepanduk-sepanduk itu, rasa nak tergelak pun ada. Antaranya ialah pasal UBI KAYU; entah mai mana-mana, poster-poster itu penuh dengan cerita pasal Ubi Kayu. Dah la tu, siap dengan dua tiga tongkoi Ubi Kayu yang masih melekat di akar pokok ubi tu depa angkut mai sekali. Bila tanya pasal apa bawa mai Ubi Kayu?

Depa kata:

"UBI KAYU inilah adalah lambang kemiskinan rakyat-rakyat marhain kat bawah ni!!"

Hmm, baguslah itu, sejak-sejak dah habis PRU12 ini, rakyat marhain kat bawah tu macam dah tenggelam punca, dah tak tau nak relate kat mana-mana pihak/parti politik/organisasi yang betul-betul memperjuang dan mengambil berat tentang isu kemiskinan dan masalah harga barang terutamanya BERAS makanan asasi anak bini depa ni.

Daripada sembang & temubual dengan rakyat-rakyat kat bawah ini, kita dapat rasa yang rakyat macam dah naik meluat dan fed-up dengan kerenah YB-YB dalam Parlimen tu, yang tak habis-habis bertengkar dan bergaduh macam budak-budak tadika. Depa macam buat main-main saja dengan institusi Parlimen, macam tak hormat langsung dengan institusi ini yang sepatutnya merupakan tempat berkumpulnya suara keramat rakyat jelata.

Rakyat dok rasa YB-YB dalam parlimen itu macam x serius macam main-main saja dengan title YB yang ada pada depa, sedangkan di kala YB-YB tu dok maki hamun sesama sendiri, dok kata kumpulan tu Babi kumpulan ni Babi, rakyat marhain kat bawah ni terus-terusan menderita dengan kenaikan harga barang terutama sekali isu BERAS yang entah bila nak jumpa jalan penyelesaiannya ini.

Berbalik kpd demo di tengah Pekan Hari Padang Serai, Kedah itu; sebaik saja sampai, bila tengok muka-muka yang turun tu adalah wajah-wajah regular penduduk taman dan kampong sekitar; jiran-jiran dan kawan-kawan belaka, rasa seganlah pulak kalau tak pi ke depan sama.

So, walaupun mengetahui risiko join demo yang tak ada permit ini (ya lah, bukan dianjurkan oleh mana-mana parti politik ataupun NGO pun, cumalah perhimpunan ad-hoc rakyat jelata tanpa detail perancangan); saya terus ke depan, dan entah macam mana, macam main game pula, depa pass mai mike/hailer bagi kat saya.

Saya pun apa lagi, lama dah dok geram dok dengar kawan-kawan dan diri sendiri dok rasa x puas hati; nama saja dok di negeri Kedah, negeri Jelapang Padi, sawah bendang sejauh mata memandang, tapi BERAS pun boleh jadi isu. So, antara sedar, saya balun ajalah cakap apa yang terlintas. Habis demo tu, TV7/S.habag/Harakah mai kat Apit tanya sapa ketua, depa nak interview.

Apit habag dialah ketua, tapi kalau nak interview, suruh interview Munir (saya); laa..x pasal-pasal kena interview, kemudian nama sure naik di Balai. Tak taulah Apit, dah hang suruh aku cakap, aku cakap ajalah!

Saya tak berapa ingat apa yang saya cakap, cumanya saya habag dalam lebih kurang 100 lebih yang turun tu, rata-ratanya adalah pesawah (bendang), penoreh, peniaga dan ramai juga adalah pekerja kilang. Mereka semua ini tak puas hati pasal harga BERAS dok naik mencanak, dan mereka merasakan pihak-pihak yang berkenaan tak betul-betul ambil serius tentang isu ini.

Pihak-pihak yang berkenaan itu bukan semestinya pihak Kerajaan yang memerintah, tetapi adalah semua pihak yang sudah pun diberi undi dan mandat oleh rakyat jelata dalam PRU12 baru ni; maksud mereka ialah YB-YB yang dilantik ke Parlimen.

Mereka (RAKYAT) sudah pun menunaikan tugas mereka dengan membuang Undi dlm p.raya, maka sekarang tibalah pula giliran mereka-mereka yang dilantik untuk menunaikan tugas dan tanggungjawab mereka dalam Parlimen bagi mencari jalan penyelesaian yang konkrit mengenai isu BERAS ini. Hangpa dah jadi YB, hangpa pikiaqlah macam mana nak buat.

Pihak polis yang datang memantau memberi 25 minit saja untuk demo tersebut; selepas 25 minit semua orang bersurai. Waktu itu baru saya perasan, yang turun tu memang golongan rakyat marhain sungguh: Apit (fulltime buat bendang), Cop (niaga nasi Ayam), Paktam Poi (niaga yong taufu), Midi (bawa van budak tadika), Radhi (jual ikan), Abang apanamalupa (Penoreh), Zul (kerja kilang); ringkasnya rakyat bawahan semuanya.

Waktu pakat dok jamu selera kat rumah Pak Tam Poi (demo buat depan rumah dia mengadap main road Pekan Ahad Padang Serai); saya tanya Apit, betoi-betoinya macam mana boleh mula buat Demo Ubi Kayu ini?

Apit kata:

"Betoi-betoinya lah, AKU TAK PUAS HATI SUNGGUH, SEBAB AKU NI DOK BUAT BENDANG, AKU YANG TANAM PADI, TIBA-TIBA AKU TERPAKSA BELI BERAS HARGA TINGGI!!"

La, patutlah pun Apit pulun sakan; dia x kisah polis ka sapa ka nak kacau dia, sebab kalau ditakdirkan dia masuk dalam, dia x rugi apa pun, tapi kita semua rakyat jelata yang rugi, sebab satu hari dia dok dalam, bermakna satu harilah beras kita kurang bekalan. Makna kata, penting sungguhlah rupanya Pak-Pak Tani ini kpd kita. Maka itu, tidak keterlaluan kalau kita sarankan: kali ini kalau ada Anugerah Maulidur Rasul ka Maal Hijrah apa ka, elok kot kita pi bagi kat Pak Tani macam Apitlah pulak. Banyak jasa depa kat kita, tapi kita semua take for granted macam itu saja.

Last sekali Apit habag:

"Selain itu, aku x puas hati sungguh; cuba hangpa bayangkan BERAS naik harga daripada RM18 ke RM32 sekampit (10kg). Dah la tu, BAJA pula naik harga drpd RM70 ke RM160 sekampit (50kg). Kemudian RACUN pula naik harga drpd RM45 kpd RM120 satu tong (4 Liter). Tak ker gila kerjanya, sedangkan PADI tak naik harga pada kadar yang serupa!!"

Hmm, patutlah Apit marah sangat.

Saya dan rakan-rakan hanya menumpang kemarahan Apit itu saja. Saya dok ingat next PRU, kalau ada peluang, boleh kot kita lobi Apit jadi calun; kalau pun bukan mana-mana parti yang dah ada YB dalam parlimen tu, kalau Apit nak jadi calon BEBAS, boleh kot kita calonkan dia bertanding atas nama Parti Cap UBI KAYU!!

Hidup Apit! Hidup Rakyat Marhain! Hidup Ubi Kayu!

Sekian dilaporkan

p.s: sorrylah tulisan saya ni kelam kelibut sikit, maklumlah bukannya ada orang-orang Besar pun nak baca kisah-kisah rakyat marhain ini. Jadi, saya catatkan juga di sini sebagai journal peribadi saya untuk tatapan anak-anak cucu saya dan juga anak cucu Apit kemudian hari.

Monier_matdin@yahoo.com
18.5.08
http://www.moniermatdin.blogspot.com

Parti KeADILan Rakyat Bahagian Hulu Langat

akan datang menemui para pejuang keadilan, dalam masa terdekat
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...