Monday, May 11, 2009

Raja

Rakyat adalah maharaja tanpa mahkota. Justeru, kuasa adalah milik mutlak rakyat yang dipinjamkan sementara kepada pemimpin sekadar lima tahun. Pemimpin yang memperoleh kuasa sementara dari rakyat hendaknya bertanggungjawab dalam mengurus cukai yang dikutip dari keringat rakyat menjadi harta negara untuk tujuan mentadbir negara, memajukan negara, membayar gaji pemerintah negara dan gaji perkhidmatan awam negara.

Dengan ungkapan lain, pendapatan negara dan kemewahan pemimpin adalah hasil dari keringat rakyat yang dikutip melalui cukai. Oleh sebab itu, para pemimpin wajib memelihara harta negara yang diperoleh dari cukai rakyat.

Firman Allah : “Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras, dan tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan”. (QS 66 : 6)

Ungkapan kata neraka menyentuh seluruh tata hidup manusia semasa hidup dan selepas mati. Perilaku jenayah atau penjenayah adalah C4 kepada orang yang baik, penyakit yang meranapkan keamanan bermasyarakat dan bernegara, di samping mencetuskan kebimbangan tentang keselamatan manusia sejagat. Di manakah terletaknya sarang penyakit itu? Sabda Rasulullah: “Perut manusia itu tempat segala penyakit”. (Riwayat ad-Dailami).

Sedia maklum bahawa perut itu tempat mengisi makanan. Makan bukan sahaja sebagai satu cara untuk meneruskan hidup, bahkan apa yang dimakan mempengaruhi tingkah laku seseorang. Justeru agama, khususnya agama islam mewajibkan penganutnya hanya memakan makanan yang halal, yang juga diperoleh dari sumber yang halal.

Menyentuh soal rasuah. Rasuah bukan pendapatan atau rezeki yang diperoleh dengan cara yang halal. Betapa Rasulullah melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah. Sabda Baginda yang bermaksud : “Pemberi rasuah dan penerima rasuah akan dicampak ke dalam neraka”. (Riwayat Al-Turmizi)

Rasulullah bukan sahaja melaknat bahkan memberi amaran keras kepada para pemberi dan penerima rasuah sebagai bakal dicampak ke dalam neraka. Amat nyata bahawa rasuah itu tidak halal. Dengan ungkapan lain, seluruh yang terlibat memasak dan memakan hasil rasuah itu, sudah tentu memakan makanan yang tidak halal.

Makanan yang tidak halal itu akan disimpan di dalam perut sebagai penyakit. Penyakit dari sumber makanan yang tidak halal itu, sudah tentu menjelma dalam pelbagai bentuk penyakit tingkah laku, sehingga keluarga yang sepatutnya harmoni, bertukar menjadi porak-peranda tanpa kasih sayang laksana neraka.

Perut seluruh warga perasuah yang di isi dengan makanan dari sumber yang ada janji neraka kehidupan untuk mereka akan berkembang menjadi neraka hidup berkeluarga, neraka hidup bermasyarakat dan neraka hidup bernegara di persada antarabangsa.

Demikianlah, masyarakat dan negara akan menuai dari apa yang telah disemai sebelumnya. Kalau begitu, jauhilah rasuah dan jangan berani memberi makan keluarga dari sumber rasuah. Bahana rasuah buruk padahnya kepada agama, masyarakat dan negara.


- Naspaz

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...