Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam (PAC) Selangor menyifatkan projek Taman Orkid Serendah yang dibangunkan oleh kerajaan negeri terdahulu tidak menguntungkan malah merugikan wang rakyat.
Pengerusi PAC Selangor, Lee Kim Sin berkata laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Audit terhadap projek itu tidak menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan sejak ia mula dibangunkan pada tahun 1999.
“Melalui laporan yang diterima, kita dapati projek ini umpama ‘gajah putih’ kerana tidak berjalan seperti yang dirancang sejak ia dibuka beberapa tahun lalu,” katanya selepas mengadakan lawatan ke tapak berkenaan di sini pagi tadi.
Akibatnya kata beliau, kerajaan negeri terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM15 juta.
Turut bersama beliau dalam lawatan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sekinchan, Ng Suee Lim, Adun Damansara Utama, Dr Cheah Wing Yin, Adun Sri Muda, Shuhaimi Shafiei, Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) Ali Ahmad dan Timbalan Pengurus Besar PKPS, Aqmal Azam.
Menurut Lee lagi, walaupun kos penyelenggaraan projek itu telah dibekukan namun tanggungan berterusan masih dilakukan kerajaan negeri melalui PKPS.
Ditanya mengenai tindakan yang akan diambil PAC selepas ini, pihaknya akan membuat semakan terlebih dahulu.
“Selain semakan kita juga akan memanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah untuk meneliti sama ada berlaku penyelewangan kuasa atau rasuah dalam projek tersebut. Dalam masa yang sama, kita juga akan memanggil pihak yang terlibat termasuk PKPS untuk memberi penjelasan,” katanya.
Sementara itu, PAC juga melakukan lawatan ke projek Selangor Fruit Valley hari ini, yang turut dipantau kerajaan negeri di bawah pentadbiran baru. - MURIZA ABDUL HAMID
No comments:
Post a Comment