Friday, November 28, 2008

UMNO Gagal Serang Pakatan Rakyat Di Selangor


Isu arak, judi dan kandang babi mula diberi perhatian oleh UMNO terutamanya selepas mereka gagal berdepan dengan negeri-negeri di bawah Pakatan Rakyat di dalam isu-isu lain yang lebih besar. Mengapa isu ini dimainkan? Ini adalah kerana untuk mendapatkan perhatian orang-orang Melayu yang berugama Islam kononnya UMNO amat `benci' kepada arak, judi dan babi serta untuk menggambarkan bahawa UMNO itu lebih Islamik. Seperti juga mereka memainkan isu ketuanan Melayu dan Bahasa Melayu, adalah semata-mata untuk menunjukkan tanpa adanya UMNO di muka bumi ini, maka hilanglah Melayu. Samalah juga kita beranggapan, tiadanya UMNO maka tiadalah Akta ISA.

Di Selangor isu kandang babi adalah isu pertama mereka selepas Selangor diambil alih oleh PR. Seolah-olah babi mula beranak dan membiak sejurus sahaja PR mengambil alih Kerajaan Selangor. Atas kebijaksanaan MB Selangor dan kepimpinan PR di Selangor, isu ini menjadi bahan jenaka rakyat di Selangor. UMNO sebenarnya cuba untuk mencari isu lain seperti rasuah, penyelewengan atau ketidaktelusan Kerajaan Selangor, tetapi mereka gagal kerana Kerajaan Selangor di bawah PR jauh berbeza dengan corak pemerintahan mereka dahulu. Kewibawaan MB Selangor yang tegas membasmi rasuah dan salah laku tanpa mengira siapa hatta pegawai di pejabatnya sendiri, menjadikan UMNO `mati kutu' dan hilang modal di Selangor.

Terbaru timbul pula isu arak di Selangor. Media arus perdana mengambil kesempatan di atas isu ini kerana mereka melihat isu ini menjadi perdebatan di kalangan pimpinan parti di dalam PR sendiri. Media menggambarkan PAS seolah-olah tidak mahu arak dijual berleluasa di Selangor, manakala DAP dan PKR hanya mahu agar penjualan arak di Selangor dikawal sahaja. Media turut menggambarkan bahawa PAS punyai strategi tersendiri untuk menyekat penjualan arak di Selangor. Ada kesannya juga propaganda media ini, di mana terdapat beberapa pihak di dalam PR tidak senang dengan cara PAS sedemikian. Tetapi, apabila MB Selangor sendiri membuat kenyataan selepas Mesyuarat Exco yang turut dihadiri oleh wakil-wakil dari semua parti Pakatan Rakyat di Selangor, maka propaganda media ini terhenti setakat itu. Kebijaksanaan MB Selangor bertindak pantas `membunuh' serangan media yang membawa virus yang lebih bahaya dari `Virus JE' ini harus dipuji.

Rakyat di Selangor sebenarnya memahami bahawa isu arak, judi dan penternakan babi yang sering dibawa oleh UMNO terutamanya adalah semata-mata untuk memburukkan Kerajaan PR di Selangor. Jika ditanya balik kepada mereka, siapakah yang mengeluarkan lesen meluluskan kilang arak dan judi di negara ini, pemimpin-pemimpin UMNO akan terkelu lidah untuk menjawab. Di dalam isu babi, tercatat sejarah hitam di Negeri Sembilan iaitu di Bukit Pelandok, Port Dickson di mana Virus JE telah membunuh beberapa orang akibat penternakan babi yang tidak terkawal. Ketika itu, Kerajaan Negeri Sembilan diperintah oleh siapa? Isu judi yang ditimbulkan di Negeri Selangor pula seolah-olah Selangor mengatasi Genting Highland di Pahang di dalam mewujudkan pusat judi terbesar. Adakah Pahang diperintah oleh PAS? Seandainya Pahang diperintah oleh PAS, belum tentu PAS dapat menghapuskan pusat judi tersebut kerana lesen perjudian dikeluarkan oleh Kerajaan Pusat.

Suka saya menyarankan agar UMNO sekiranya ikhlas untuk menghapuskan arak atau judi di dalam negara ini, mereka seharusnya berani mengusulkan di Parlimen atau di dalam Mesyuarat Kabinet agar kerajaan tidak mengeluarkan lesen judi dan arak. Sekiranya usaha mereka gagal, mereka harus keluar dari UMNO dan mencuba nasib mereka di dalam PR untuk membantu PR menjadi kerajaan. Saya yakin, di dalam Parti-Parti PR yang terdiri dari PKR, PAS dan DAP kesemuanya bersetuju bahawa arak dan judi itu lebih banyak mendatangkan keburukan dari kebaikan. Buat masa sekarang, PR belum berkuasa di peringkat pusat, maka adalah lebih baik Pemimpin PR menjalankan kempen besar-besaran di kalangan rakyat agar membenci judi dan arak. Letakkan keburukan judi dan arak ini setaraf dengan keburukan amalan rasuah di dalam pentadbiran semua kerajaan negeri di bawah PR. - W.FAUZDIN NS

Thursday, November 20, 2008

Kongres Nasional Tahunan Parti Keadilan Rakyat “Harapan Baru”


Kongres Nasional Tahunan Parti Keadilan Rakyat(KeADILan) akan diadakan di Stadium Malawati, Shah Alam pada 29-30 November 2008.

Kongres KeADILan yang pertama selepas pilihanraya umum 8 Mac lalu ini akan menyaksikan kehadiran wakil-wakil rakyat yang paling ramai sejak penubuhan parti 10 tahun yang lalu.

Kongres Nasional tahun ini telah diberikan tema “Harapan Baru” atas kesedaran ada perlunya untuk mentransformasikan kuasa rakyat yang disaksikan dalam pilihanraya umum lepas kepada kuasa perubahan yang jitu ke arah Malaysia yang adil dan demokrasi.

Kongres yang juga pertama kali diadakan sejak Ketua Umum Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Ketua Pembangkang ini bertujuan untuk membuka ruang kepada para perwakilan untuk membahaskan dasar perjuangan parti secara umum, dan polisi pentadbiran negeri Pakatan Rakyat secara khususnya.

Kedua-dua sayap penting parti yakni Angkatan Muda dan Wanita pula akan mengadakan kongres masing-masing secara berasingan pada 28 November.

Kongres Nasional kedua-dua sayap ini akan dirasmikan bersama oleh Timbalan Presiden KeADILan Dr Syed Husin Ali di Stadium Malawati. Selepas perasmian, Angkatan Muda akan terus bersidang di Stadium Malawati, manakala Wanita akan bersidang di Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor.

Bahagian Hulu Langat akan menghantar 100 pemerhati ke Kongres Nasional tahun ini yang akan dimeriahkan lagi dengan “Karnival Rakyat”.

Orang awam dijemput untuk mengunjungi “Karnival Rakyat” yang terbuka sepanjang kongres bersidang dan mendengar pidato umum pimpinan parti khususnya Datuk Seri Anwar Ibrahim pada malam 29 November di Stadium Malawati.


PENERANGAN PARTI KEADILAN RAKYAT BAHAGIAN HULU LANGAT

Thursday, November 13, 2008

Kerajaan Selangor beri tempoh sebulan untuk kosongkan setengah ekar banglo ‘abang Zack’

KUALA LUMPUR,13 NOVEMBER (SK) Kerajaan Selangor memberi tempoh selama satu bulan, bagi keluarga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelabuhan Klang, Allahyarham Zakaria Md Deros untuk mengosongkan setengah ekar di kawasan banglo kediaman mereka.

Menurut Menteri Besar Selangor, Abdul Khalid Ibrahim berkata Jawatankuasa Tanah Daerah telah menolak permohonan pemilikan tanah seluas 2,269 meter persegi di Kampung Idaman itu telah ditolak.

Mengikut rekod, Jawatankuasa Tanah Daerah pada 14 Disember 2007 telah menolak permohonan pemilikan tanah laman tersebut.

“Jawatankuasa itu juga membuat keputusan sebarang rayuan terhadap penolakan tersebut haruslah dibuat terus kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri,” katanya dalam sidang media semalam.

Abdul Khalid berkata, kerajaan negeri telah mendengar taklimat dari Yang DiPertua Majlis Perbandaran Kelang (MPK) dan pejabat daerah berbincang mengenai banglo berkenaan yang menjadi kontroversi tidak lama dahulu.

“Mesyuarat EXCO hari ini (semalam) telah mengarahkan pihak MPK untuk memberitahu keluarga Allahyarham supaya mengosongkan tanah tersebut dalam masa sebulan dan mengeluarkan kompaun atas kesalahan menceroboh tanah milik kerajaan,”katanya lagi.

Kerajaan negeri katanya, berharap agar arahan itu dipatuhi tanpa perlu mengambil sebarang tindakan undang-undang atas dakwaan menceroboh tanah kerajaan.

Banglo yang siap dibina pada awal Oktober tahun lalu itu pernah mencetus kontroversi apabila kerja pembinaannya pada awal 2006 dimulakan tanpa kelulusan kebenaran merancang dan kelulusan pelan bangunan.

Atas sebab itu, pihak MPK telah mengenakan denda sebanyak RM19,373.00 iaitu 10 kali ganda bayaran pelan bangunan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...