Thursday, November 13, 2008

Kerajaan Selangor beri tempoh sebulan untuk kosongkan setengah ekar banglo ‘abang Zack’

KUALA LUMPUR,13 NOVEMBER (SK) Kerajaan Selangor memberi tempoh selama satu bulan, bagi keluarga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelabuhan Klang, Allahyarham Zakaria Md Deros untuk mengosongkan setengah ekar di kawasan banglo kediaman mereka.

Menurut Menteri Besar Selangor, Abdul Khalid Ibrahim berkata Jawatankuasa Tanah Daerah telah menolak permohonan pemilikan tanah seluas 2,269 meter persegi di Kampung Idaman itu telah ditolak.

Mengikut rekod, Jawatankuasa Tanah Daerah pada 14 Disember 2007 telah menolak permohonan pemilikan tanah laman tersebut.

“Jawatankuasa itu juga membuat keputusan sebarang rayuan terhadap penolakan tersebut haruslah dibuat terus kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri,” katanya dalam sidang media semalam.

Abdul Khalid berkata, kerajaan negeri telah mendengar taklimat dari Yang DiPertua Majlis Perbandaran Kelang (MPK) dan pejabat daerah berbincang mengenai banglo berkenaan yang menjadi kontroversi tidak lama dahulu.

“Mesyuarat EXCO hari ini (semalam) telah mengarahkan pihak MPK untuk memberitahu keluarga Allahyarham supaya mengosongkan tanah tersebut dalam masa sebulan dan mengeluarkan kompaun atas kesalahan menceroboh tanah milik kerajaan,”katanya lagi.

Kerajaan negeri katanya, berharap agar arahan itu dipatuhi tanpa perlu mengambil sebarang tindakan undang-undang atas dakwaan menceroboh tanah kerajaan.

Banglo yang siap dibina pada awal Oktober tahun lalu itu pernah mencetus kontroversi apabila kerja pembinaannya pada awal 2006 dimulakan tanpa kelulusan kebenaran merancang dan kelulusan pelan bangunan.

Atas sebab itu, pihak MPK telah mengenakan denda sebanyak RM19,373.00 iaitu 10 kali ganda bayaran pelan bangunan

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...