Wednesday, August 27, 2008

TAHNIAH YB. DSAI ATAS KEMENANGAN CEMERLANG


"Seperti yang telah diduga oleh banyak pihak sebelum ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim pasti akan melangkah kaki ke parlimen bagi mewakili Permatang Pauh yang sebelum ini diwakili oleh bapanya pada tahun 1969, kemudian oleh beliau sendiri pada tahun 1982 – 1998 dan isterinya Datin Seri Wan Azizah pada tahun 1999 hingga September 2008. Kemenangan beliau kali ini adalah atas kehendak rakyat Permatang Pauh sendiri yang sudi memberi undi kepada beliau dengan mejoriti yang lebih besar. Tahniah diucapkan kepada Datuk Seri Anwar dan juga para pengundi Permatang Pauh kerana membuat pemilihan yang bijak.

Kemenangan besar DSAI sekaligus memberi isyarat kepada Perdana Menteri sertaTimbalannya bahawa rakyat di Permatang Pauh khususnya menolak kepimpinan mereka dan tidak dapat menerima pendekatan kempen yang dilakukan oleh BN dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh.

PRK Pematang Pauh kali ini memang cukup istimewa kerana ia menjadi fokus kepada aktivis politik bukan sahaja di dalam malah di luar negara. Secara tidak langsung, nama Permatang Pauh dikenali di seluruh dunia kerana ianya mencatat sejarah penting bagi perkembangan politik Malaysia pada dekad ini.

Pada hakikatnya kemenangan besar DSAI adalah hasil gabungan mantap parti dalam komponen PR itu sendiri yang bekerja sebagai satu pasukan walaupun berbagai usaha telah dirancang oleh pihak lawan hingga ke saat terakhir untuk melemahkan perpaduannya. Walaupun terdapat kecacatan di sana sini, namun ia berjaya diatasi dengan baik dan berkesan.

Ini adalah hasil dari pengalaman yang ditimba dalam PRU 12 beberapa bulan yang lepas dalam menghadapi lawan mereka yang menguasai negara semenjak 50 tahun. Dengan kemenangan tersebut, bererti DSAI telah dinobatkan semula sebagai Ahli Dewan Rakyat dan ini adalah halangan pertama yang berjaya diatasi beliau untuk mendaki ke puncak. Di sana masih banyak lagi rintangan yang perlu ditempuhi beliau untuk sampai ke destinasi.

Tidak dapat dinafikan, DSAI adalah antara tokoh yang terlalu banyak dipalitkan dengan aneka kebejatan perilaku berbanding dengan ahli politik lain di negara ini. Kalau sepuluh tahun dulu beliau terpaksa berdepan dengan musuhnya dengan kes-kes liwat 1 dan rasuah sehingga merengkuk dalam penjara buat beberapa tahun, kali ini beliau bukan sahaja diserang oleh musuh luar, malahan oleh bekas rakan seperjuangannya sendiri yang turut menikam beliau secara terbuka dan berani.

Contohnya, Sdr. Ezam Mohd. Nor nampaknya tanpa segan silu mendedahkan keburukan DSAI dengan berbagai isu, termasuk isu pemberian projek bernilai RM15 bilion kepada rakan-rakannya semasa jadi Menteri Kewangan, kemudian diikuti oleh Datuk S Nallakaruppan yang mendakwa Anwar terbabit dengan pengambilan RM60 juta dari Syarikat perjudian, Magnum Corporation Bhd.

Pendedahan tersebut merupakan serangan yang cukup hebat ke atas diri Anwar di saat beliau sedang meraih undi dalam pilihan raya kecil. Kedua-dua mereka adalah rakan akrab yang akhirnya berpaling tadah dan menyerang beliau untuk membunuh karier politiknya.

Tidak cukup dengan serangan tersebut, muncul pula seorang Timbalan Menteri dengan berani membuat serangan kononnya Anwar pernah ingin mengambil kesempatan terhadap isteri seorang Timbalan Menteri semasa beliau berada dalam kerajaan dulu.

Tuduhan yang berani itu melengkapkan keburukan peribadi Anwar yang memang ditakuti oleh pemimpin tertentu dalam kerajaan. Jika dianalisa semua tohmahan yang dilempar terhadap Anwar, ternyata personaliti beliau adalah yang paling buruk di kalangan bekas menteri dan menteri kabinet yang ada sekarang. Anwar seolah-olah penagih liwat dengan sesama lelaki sehingga terjebak dalam angkara liwat 1dan 11 dengan bekas pekerjanya sendiri.

Selain ghairah terhadap lelaki beliau juga bernafsu terhadap perempuan sehingga ingin mengambil kesempatan ke atas isteri orang. Selain dari itu, beliau juga didakwa terbabit dengan pengambilan wang haram dari syarikat perjudian, mengamalkan penyalahgunaan kuasa dengan meluluskan projek besar kepada kroni, bersekongkol dengan Yahudi dan kuasa besar, lari dari perjuangan asal PKR, seperti yang didakwa oleh bekas Setiausaha PKR Kedah, Zamil Ibrahim semasa mengistihar keluar beramai-beramai dari PKR di Sungai Petani, dan banyak lagi perlakuan buruk yang tidak sempat dimuatkan diruang yang terbatas ini.

Itulah antara keburukan yang wujud pada diri Datuk Seri Anwar yang didedahkan kepada pengundi Permatang Pauh dalam usaha untuk menggagalkan kemaraannya ke parlimen di mana ianya amat dibimbangi oleh banyak pihak di negara ini.

Walau apapun, pengundi Permatang Pauh nampaknya tidak menelan bulat-bulat tohmahan tersebut, sebaliknya mereka menepis isu-isu yang dijadikan peluruh untuk menyerang peribadi DSAI dan menganggap itu adalah permainan politik kotor pihak lawan. Justeru itu, Anwar perlu dihantar ke parlimen untuk meneruskan tugas negara yang kini berada dalam keadaan yang teruk dan bercelaru.

Oleh OTHIMBRA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...