Wednesday, June 3, 2009

Stadium Runtuh: Apa Manifestasinya?

Kalau kita menjadi rakyat yang cerdik, sudah cukup kita menghukum UMNO/BN dengan hal-hal penyelewengan dan rasuah dalam projek-projek pembangunan untuk rakyat. Di negara maju seperti Amerika Syarikat dan Negara Eropah yang lain, pembayar cukai menyedari hak mereka dan tidak teragak-agak menggunakan hak mereka untuk menghukum kerajaan yang korup.

Mereka tahu bahawa pembangunan negara menggunakan wang mereka yang dipotong dari cukai pendapatan dan ribuan cukai lain. Bezanya ialah wang rakyat itu bukan secara langsung keluar dari poket mereka. Kalaulah mereka berfikir sudah tentu mereka sedari bahawa wang mereka awal-awal lagi telah diambil oleh kerajaan melalui potongan cukai, duti import dan sebagainya.

Stadium runtuh adalah manifestasi pengurusan projek yang gagal. Sudah tentu berlaku penyelewengan dan urus tadbir yang tidak baik. Ini mengakibatkan kos yang melambung tinggi tetapi hasil kerjanya tidak memuaskan. Entah berapa juta lagi diperlukan pula duit rakyat untuk membaiki kerosakan. Rakyat, seperti dinyatakan tadi, tidak berasa apa-apa kerana duit tidak diambil dari poket mereka secara langsung.

Izinkan penulis, mendedahkan beberapa ‘projek menyakitkan hati’ di daerah Kemaman, yang penulis lihat dan ketahui. Para pembaca lain sudah pasti mempunyai lebih banyak maklumat tentang projek-projek kerajaan BN yang menyakitkan hati ini. Antaranya, mercutanda ala UFO di depan Balai Bomba, Taman Chukai Utama. Setelah habis hampir RM5 juta, ada hasilnya sekarang? Indahkah UFO itu (umpama UFO rosak yang mendarat di Chukai)? Satu lagi projek BN. Duit siapa tu? Siapa kaut untung?

Kedua, Jambatan Sungai Pinang yang terbengkalai sudah dua tahun. Sampai ke hari ini, pengguna yang berulang-alik setiap hari terpaksa menanggung seksa. Jalan sementara tidak diturap, berlopak apabila hujan dan berlubang-lubang. Duit sudah habis berjuta-juta untuk projek itu tetapi apakah hasilnya kini? Siapa untung dari satu lagi projek kerajaan Barisan Nasional ini?

Ketiga, projek pembetungan sepanjang jalan Kampung Mak Chili Paya. Sudah berapa kontraktor yang meninggalkan tugas dengan tidak sempurna? Sudah berapa juta duit rakyat hangus tetapi kualiti buatannya amat menyedihkan. Ada tempat bertutup dan ada bahagian tidak bertutup sehingga membahayakan pengguna jalan raya. Itu belum pasti lagi pembentungan itu berjaya mengalirkan air ke sungai dengan sempurna. Sudahlah jalan di hadapan JPJ menghala ke arah parit dan jalan bertebingkan parit dalam yang tidak baiki. Apabila berlaku kemalangan dan kematian, barulah wakil rakyat BN turun padang.

Keempat, pergilah ke jalan dan lorong mana pun, sudah pasti kita akan sakit hati melihat jalan rosak yang tidak dibaiki. Rosaknya masuk berbulan-bulan tanpa tindakan kerajaan Barisan Nasional. Seolah-olahnya wakil rakyat tidak pernah melalui jalan itu dan wakil rakyat BN memang tidak peduli pun kesusahan rakyat. Mereka cuma ghairah hendak bagi projek besar kepada kroni-kroni mereka. Dan kontraktor kroni inilah yang membaham keuntungan untuk di bahagikan komisyen sesama mereka. Tengoklah Jalan Mak Lagam-Cheneh dan Pasir Gajah-Air Putih. Selesakah rakyat setelah habis wang berjuta.

Kelima, bocor di sana bocor di sini bermula dari Masjid Tengku Tengah Zaharah (Masjid Terapung) dan terkini Masjid Kristal kebanggaan Idris Jusoh. Macam mana projek yang melibatkan ratusan juta duit rakyat di bawah satu lagi projek Kerajaan Barisan Nasional boleh menjadi begitu rendah mutu buatannya. Apa yang dapat dibanggakan untuk pelancongan kalau pelancong didedahkan dengan baldi dan besen penadah air hujan.


Stadium runtuh adalah rentetan jambatan terbengkalai, pembentungan separuh masak, jalan beralun dan berlubang dan kebocoran di sana sini. Untuk dibaiki segala kerosakan ini, kerajaan akan menyuntik ratusan juta ringgit lagi. Poket dan akaun bank rakyat disedut lagi. Hanya rakyat yang tolol terus bermurah hati untuk memberi undi setiap kali pilihanraya untuk Barisan Nasional. Kalau kalian menjadi rakyat yang cerdik, penyelewengan dan korupsi dalam kerajaan sahaja pun sudah cukup untuk kalian menafikan undi untuk BN.

Monday, June 1, 2009

Kemasukan Ahli Baru

Adalah diharap ahli2 UMNO yg ingin menyertai PKR secara khusus dan PR secara am nya hendaklah faham dan memperjuangkan prinsip2 parti PKR (wadah perjuangan PKR) dan bukan hanya kerana kekecewaan terhadap isu2 seperti kegagalan ketua tidak dilantik menjadi ‘org kuat’ UMNO/hilang kuasa.

Diharap kepimpinan PKR saring dan ketahui matlamat perjuangan mereka2 yg ingin sertai PKR kerana rakyat tidak mahu nanti yg sertai PKR (lompat dari UMNO) akan meninggalkan parti PKR kemudian hari hanya kerana perjuangan mereka berlandaskan ‘mahukan kuasa’.

Rakyat mahu pemimpin yg berjuang untuk rakyat bila diberi peluang bukan berjuang untuk kuasa dan lupakan rakyat.

Biro Penerangan Hulu Langat

Menjawab Rencana Zulkiflee Bakar, Mingguan Malaysia

Suka saya mengambil kesempatan ini untuk menjawab beberapa persoalan yang dikemukakan oleh Zulkiflee Bakar di muka 8 Mingguan Malaysia. Didalam kolum Rencana, artikel yang ditulis oleh Zulkiflee Bakar bertajuk “Menilai Hujah Husam” antara lain telah menjatuhkan maruah penyunting akhbar arus perdana dan penganalisa politik tempatan.

Sebagai seorang yang rapat dengan pihak media, saya merasakan tulisan Zulkiflee ini satu penghinaan kepada pengamal media dan menunjukkan betapa ceteknya pemikiran beliau. Saya berharap ini bukanlah mentaliti yang dikongsi oleh kakitangan dan pengurusan Utusan Melayu.

Di dalam artikel tersebut, Zulkiflee ada menulis seperti berikut,

“Apakah dosa besar yang dilakukan oleh UMNO terhadap PAS sehinggakan sesiapapun pemimpin PAS yang cuba berbaik-baik dengan UMNO harus disingkirkan.”

Bersandarkan kepada anggapan bahawa tulisan Zulkiflee berlandaskan niat yang baik, ternyata ia hanya menunjukkan sikap malas penyunting akhbar ini untuk melakukan sedikit kajian. Berikut saya senaraikan diantara dosa besar UMNO terhadap bukan sahaja PAS sebagai sebuah parti politik tetapi kepada ahli-ahli PAS, penyokong-penyokong PAS dan pengundi-pengundi PAS.

* Pada 30 Januari 2008 di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya, bekas Presiden UMNO, Tun Dr. Mahathir membuat pengakuan dihadapan lebih 30 orang pengamal media dengan mengaku telah dipaksa oleh pemimpin-pemimpin UMNO supaya menyekat sebarang bentuk bantuan oleh Kerajaan Pusat kepada Negeri Kelantan. Tun berkata, “… bukan sahaja Mustapha (Mohamed) tetapi pemimpin-pemimpin UMNO lain pun mintak sekat”. Pengakuan ini dibuat ketika mengulas pengakuan Dato’ Mustapha Mohamed yang ketika itu Menteri Pelajaran Tinggi dan ahli Dewan Undangan Negeri Ayer Lanas di dalam Dewan Negeri Kelantan.

* Pada 24 November 2007, Dato’ Mustapha Mohamed ketika membahaskan usul ucapan terima kasih terhadap titah ucapan Tuanku Al Sultan Kelantan telah mengaku menekan Tun Dr. Mahathir supaya menyekat Negeri Kelantan dari menerima peruntukan dari Kerajaan Pusat.

* Bukankah ini jelas satu penganiayaan kepada parti PAS selaku Kerajaan di Kelantan, ahli-ahli PAS selaku mereka yang berusaha keras memenangkan PAS, Pengundi PAS yang menunaikan tanggungjawab mereka di dalam PRU dan seluruh rakyat Kelantan yang setengahnya tidak ada kaitan langsung dengan proses menumbangkan Kerajaan Barisan Nasional di Kelantan.

Dosa ini berterusan sehingga ke hari ini walaupun ada usaha oleh segelintir pihak di dalam PAS untuk membawa parti itu bekerjasama dengan UMNO.

Sikap barbarik UMNO sebenarnya amat dahsyat sekali dan saya amat pelik bila Zulkiflee seolah-olah tidak pernah mendengar Tragedi Memali yang berlaku pada subuh November 21, 1985. Ketika itu Presiden UMNO ialah Tun Dr. Mahathir dan Timbalannya adalah Tun Musa Hitam.

Tuan Guru Haji Hadi dan Anwar Ibrahim, tak lekang dengan fitnah dan dakyah dari UMNO

Saudara Abd. Rahman telah menulis di Muslimedia, January 16-31, 1999 yang saya temui di internet, antara lainnya,

“The police had surrounded the whole village by then, motorist to and from Memali were stopped and their names taken. Ustaz Ibrahim had just finished his daily lecture – kuliah subuh – after prayers,”

Beliau kemudian menyambung,

“On that day, the police numbered around 4,000; they were heavily armed and dangerous. They were acting on orders from Mahathir (Presiden UMNO) to arrest Ibrahim Mahmood, the man the villagers were ready to defend till their last drop of blood – which they did.”

* Sejarah mencatatkan seramai 14 orang terbunuh dan mereka terdiri dari lelaki dan perempuan yang bersama Ustaz Ibrahim menunaikan sholat subuh.

* Al Shahid Ibrahim adalah ‘orang’ PAS begitu juga mangsa yang lainnya.

* UMNO menerusi medianya menyalahkan Presiden PAS sekarang dengan berulang kali mengaitkan kejadian tersebut dengan Amanat Haji Hadi.

* UMNO menuduh mereka yang terkorban mempertahankan hak mereka yang diperuntukkan oleh perlembagaan persekutuan sebagai telah termakan hasutan Tuan Guru Haji Hadi.

* UMNO melepaskan tanggungjawab mereka terhadap kejadian itu dan sehingga hari ini menyalahkan PAS.

Tidak cukup dengan penyalahgunaan kuasa dan keganasan terhadap Parti lawan, UMNO juga seringkali sanggup membelakangkan undang-undang dan perlembagaan negara untuk mencapai hasrat mereka dalam merampas apa yang diberi Rakyat kepada PAS.

Kalau Zulkiflee boleh tidak ingat kepada kejadian Memali sudah tentu Zulkiflee juga tidak tahu tentang peristiwa Turn About About Turn.

Bagi mereka yang merasakan bahawa apa yang berlaku di Perak adalah sesuatu yang membelakangkan undang-undang dan pencabulan terhadap mandat rakyat, mungkin anda akan lebih terkejut dengan peristiwa ini.

Turn About About Turn adalah satu kejadian dimana 4 wakil rakyat PAS termasuk speaker Dewan Negeri Kelantan telah diculik, dikurung dan dipaksa membuat kenyataan media mengaku mereka menyertai UMNO.

Peristiwa yang berlaku pada 1968 ini sepatutnya berakhir dengan speaker yang diculik memanggil sidang Dewan Negeri bagi meluluskan usul Undi Tidak Percaya kepada Menteri Besar PAS. 3 orang ahli Dewan Undangan Negeri yang diculik pula akan hadir ke sidang Dewan dan menerusi undi mereka, Kerajaan Negeri pimpinan PAS Kelantan akan tumbang.

Berikut adalah rentetan apa yang berlaku,

* Pada 25 Julai 1968, YB Umar Muhammad (ADUN PAS) yang ketika itu di dalam perjalanan balik dari Kota Bharu ke Tanah Merah telah ditahan oleh polis dalam satu sekatan jalan raya. YB Mustapha Ahmad, Ahli Parlimen PAS Tanah Merah yang mengekori YB Umar melaporkan bahawa YB Umar dibawa menaiki kereta Ketua Polis Tanah Merah ke Balai Polis Kota Bharu.
* YB Umar kemudian tidak dapat dikesan selepas dibawa masuk ke Balai untuk soal siasat.
* Pada 2 Ogos 1968, Suratkhabar (mungkin Utusan Melayu terbabit sama) melaporkan 4 ahli Dewan Undangan Negeri PAS Kelantan telah masuk UMNO. Mereka ialah YB Abdullah Haji Yusof, YB Umar Muhammad, YB Abdul Rahman Muhammad Soleh dan YB Yusof Abdul Latif, Speaker Dewan Negeri.
* UMNO terus menggunakan media dan pada 3 Ogos 1968 dan 4 Ogos 1968 menabur fitnah dengan menyebut nama ahli-ahli Dewan Undangan Negeri PAS yang lain turut juga menyertai UMNO dan menyebabkan Kerajaan Kelantan Pimpinan PAS telah tumbang.
* UMNO Besut dan Tanah Merah secara besar-besaran menyebarkan dakyah dengan pelbagai cara untuk menghancurkan hati dan perasaan ahli dan penyokong PAS dengan menyebarkan lakaran kubur PAS serta masuk ke kampung-kampung dengan kenderaan yang dipasang speaker melaungkan “PAS dah Mampus. PAS dah Mampus dan Perikatan memerintah Kelantan.”
* Pada 18 Ogos 1968, 4 ahli YB PAS Kelantan telah dipaksa keluar dalam televisyen mengisytiharkan sokongan kepada UMNO.
* Selepas pengisytiharan di Televisyen, keempat-empat YB itu dibenar pulang ke Kelantan dengan kenderaan yang dikawal rapi oleh polis.
* Pada 20 Ogos 1968, Speaker Dewan Negeri yang telah isytihar menyokong UMNO mengendalikan persidangan khas Dewan Negeri.
* 2 Ahli Dewan Negeri PAS yang turut isytihar menyertai UMNO telah memberitahu Dewan Negeri bahawa mereka tetap ahli PAS dan melafaz taat setia kepada Parti Islam SeMalaysia itu.
* Usul yang ditaja UMNO tumpas dan PAS terus memerintah Kelantan sehingga Pemimpin PAS membawa PAS menyertai Barisan Nasional.
* Akibatnya dalam pilihanraya umum 1974, PAS tidak lagi berdepan dengan UMNO dan ini memudahkan UMNO untuk merangka episod seterusnya membunuh PAS.
* Selepas itu, BN bertegas melantik Menteri Besar yang tidak mendapat sokongan padu dari PAS.
* Akibatnya PAS berpecah dan akhirnya kehilangan Kelantan.

Di atas tadi adalah antara dosa besar UMNO. Dan jika diambil kira juga tindakan-tindakan zalim UMNO kepada orang-orang perseorangan di dalam PAS dengan pelbagai cara termasuklah menghumbankan mereka ke dalam penjara sebagai tahanan politik, tentu sekali tidak tercatat banyaknya.

Begitu juga penghinaan dan diskriminasi kepada penduduk-penduduk kampung yang mengundi PAS.

Zulkiflee Bakar juga mempersoalkan mengapa PAS boleh duduk semeja dengan DAP tetapi tidak dengan UMNO. Zulkiflee juga berpendapat bahawa DAP menentang penubuhan negara Islam yang dikatakan menjadi agenda PAS.

Adalah bukan suatu yang pelik bagi DAP menentang penubuhan negara Islam kerana rata-rata pemimpin, ahli dan penyokong DAP adalah terdiri daripada mereka yang bukan beragama Islam. Bagaimanapun DAP tidak pernah bertindak zalim sehingga membunuh, menculik dan mencederakan pemimpin, ahli dan penyokong PAS yang mahu menegakkan syiar Islam.

Zulkiflee mungkin lupa juga UMNO yang diangkatnya adalah lebih pelik. Ini kerana pemimpin, penyokong dan kebanyakkan pengundi UMNO adalah penganut ajaran Islam. Tetapi mempunyai pendirian yang sama dengan DAP.

Mungkin Zulkiflee boleh menjelaskan takrifan orang yang mengaku Islam tetapi menentang ajaran Islam sehingga sanggup membunuh, menculik dan mencederakan, menyekat hak dan menyekat pembangunan dari dinikmati rakyat.

Berbaik dengan UMNO tidak boleh disamakan dengan berbaik dengan DAP. DAP menghormati PAS, menghormati pejuang PAS dan kepimpinan PAS.

Zulkiflee menutup rencananya dengan berkata,

“Kalaulah puak Erdogan dipilih, ahli-ahli PAS harus bersedia melihat kedudukan ulama dalam parti itu berada dalam keadaan bahaya.”

Persoalan yang dibawa dalam menjadi teras penawaran diri sebagai Timbalan Presiden oleh Haji Husam adalah bukan persoalan puak atau fraksi sebaliknya diasaskan oleh rasa risau atas usaha-usaha oleh segelintir pucuk pimpinan untuk bersama dengan UMNO.

Haji Husam melihat cara terbaik untuk mengangkat kepimpinan ulama ialah dengan terus bersama Pakatan. PAS hari ini adalah parti induk Melayu kedua selepas UMNO. Berbaik-berbaik dengan UMNO tidak akan menjadikan PAS lebih besar sebaliknya berpotensi untuk menguncup dan sampai bilapun tidak mungkin PAS akan muncul sebagai parti induk Melayu.

Sebaliknya hanya dengan berdepan dengan UMNO secara bersemuka di gelanggang demokrasi, PAS akan dapat mengambil alih peranan itu.

Saya akhiri dengan petikan temubual Haji Husam dengan Ahmad Naim Tahir dari Berita Harian,

“Apabila saya menyertai Pas pada 1982, satu daripada sebabnya saya percaya Pas perlu jadi parti peneraju utama dalam negara jika dasar Islam yang komprehensif mahu dilaksanakan. Saya berpendapat jika ada kerjasama politik dengan Umno dalam bentuk berkerajaan, ia akan menyekat kemaraan Pas. Tak mungkin Pas dapat bertanding pilihan raya di kawasan Umno dan Barisan Nasional (BN) dan ini akan hadkan kerusi Pas lalu Umno tetap jadi parti utama dan perjuangan Islam akan terbiar. Buat masa ini saya berasa Pas mesti berusaha untuk keluar dan memenangi kerusi yang dikuasai Umno dan BN bagi mencapai cita-cita politik parti. Di kawasan ramai pengundi bukan Melayu, rakan Pas seperti DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sudah menguasai kerusi itu, jadi tugas Pas yang utama sekali ialah menarik sokongan Melayu di kawasan kubu kuat Umno seperti di Johor dan Pahang. “

-Kickdefella-

BN masih anggap rakyat bodoh, mudah ditipu

Tidak seperti semua pilihan raya kecil yang pernah dialui oleh rakyat Malaysia sejak demokrasi diperkenalkan di negara ini, kawasan Dun Penanti sepi.

Tiada jentera pembinaan yang sibuk di sana sini menurap jalan. Tiada perasmian balai raya, sekolah, masjid dan surau. Tiada menteri dan pemimpin kerajaan Pusat yang turun bagai Santa Claus mengagih pelbagai hadiah untuk rakyat.

Setiap kali berlangsung pilihan raya kecil (sebelum ini) pelbagai projek pembangunan dan bantuan diagihkan untuk rakyat. Apabila pemimpin Pakatan Rakyat mempersoalkan mengapa projek tersebut turun hanya di musim pilihan raya, dengan cengilnya mereka menjawab: “Ini tuduhan liar yang dilemparkan oleh pihak pembangkang. Sebenarnya pembangunan untuk rakyat sentiasa berterusan; sebelum, semasa dan selepas pilihan raya pembangunan tetap ada. Takkanlah haya kerana berlangsung pilihan raya maka rakyat disekat untuk menerima pembangunan? Ini tidak adil.” Molek dan muluk sekali bunyinya. Cakap mengalahkan peguam.

Dalam pilihan raya kecil Kuala Terengganu lalu, apabila diajukan persoalan yang sama, jawapan yang diberi oleh seorang pemimpin BN ialah, “Sebenarnya semua projek itu sudah dirancang sejak lama, cuma secara kebetulan ia diadakan sewaktu pilihan raya.”

Lucunya, selepas berakhir pilihan raya dan BN tersungkur, semua ‘projek kebetulan’ itu secara kebetulannya pula berakhir. Nah, sekarang apabila BN tidak sertai pilihan raya kecil Penanti, mana pula projek-projek yang telah dirancang dari awal serta projek-projek ‘kebetulan’ itu?

Satu perkara yang menyebabkan BN ditolak rakyat ialah sikap pemimpinnya yang tidak pernah berubah. Salah satu perangainya ialah apabila bercakap mereka seolah-olah menganggap semua rakyat bodoh belaka.

Apabila BN diajukan soalan mengapa tak bertanding di Penanti, mereka menjawab kononnya untuk elakkan pembaziran dan tidak mahu terperangkap dengan mainan politik KeADILan. Mereka fikir rakyat tak tahu bahawa sebenarnya mereka takut kalah.

Apabila beberapa pemimpin kaum India dibebaskan dari tahanan ISA sewaktu berlangsung pilihan raya kecil Bukit Selambau dan Bukit Gantang, media tali barut BN menyiarkan komen, terutama dari kaum India, yang memuji muja kerajaan BN kononnya baik hati. Tapi hakikatnya mereka hanya mahu mengambil hati 30 peratus pengundi India di Bukit Selambau.

Adun Kota Alam Shah, Manoharan dibebaskan daripada ISA bersama beberapa pemimpin Hindraf beberapa hari selepas isteri beliau membuat sidang media memaklumkan bahawa Manoharan akan meletakkan jawatan kerana tidak dapat memberi sumbangan untuk rakyat akibat dikurung.

Macam isu sebelumnya, media tali barut BN memuji Najib sebagai seorang pemimpin berjiwa besar kerana sanggup membebaskan musuh-musuh politik BN. Walhal, semua rakyat tahu bahawa BN takut Manoharan benar-benar letak jawatan yang menyebabkan berlaku pilihan raya kecil.

Begitu juga, bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Fairus Khairudin yang terpalit dengan isu ‘rasuah’ yang dimainkan oleh BN, tiba-tiba dibersihkan oleh SPRM. Semua tahu bahawa tujuan pembersihan itu ialah supaya Fairus menarik balik surat peletakan jawatannya, demi mengelakkan pilihan raya kecil.

Professor Dr Ahmad Atory Hussain, seorang pensyarah pro-BN menyifatkan kesediaan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz untuk menerima orang bukan Melayu, asalkan dia Islam, untuk menjadi Menteri Besar, adalah satu usaha untuk memikat pengundi bukan Melayu dalam pilihan raya kecil Manik Urai.

Mentang-mentang dia pensyarah, dia ingat boleh tipu orang lain dengan kenyataan tidak logiknya itu. Penduduk bukan Melayu Manek Urai tidak sampai 1 peratus, apa yang nak ditarik?

Dalam ‘menjelaskan’ isu Perak, pemimpin BN memberitahu bahawa tiga Adun Pakatan Rakyat yang melompat menyokong BN bukan kerana diculik, diugut dan dirasuah tapi atas keikhlasan sendiri. Anehnya mengapa mereka hilang, tak dapat dikesan sampai beberapa hari?

Takkanlah tiga “haprak” tersebut sengaja mencari masalah, dicaci oleh masyarakat serta dihina oleh pengundi. kalau tidak kerana imbuhan tertentu.

Semua episod pembohongan pemimpin BN terhadap rakyat tidak pernah berhenti.

Najib mengisytiharkan bahawa zaman di mana kerajaan (BN) tahu segala-galanya sudah berlalu. Tapi nampaknya zaman di mana kerajaan (BN) menganggap semua rakyat bodoh-bodoh belaka dan boleh ditipu, belum lagi berakhir.

(Harakahdaily)

KENYATAAN MEDIA - Penanti

KENYATAAN MEDIA DATO' SERI ANWAR IBRAHIM BERKENAAN KEMENANGAN DI PILIHAN RAYA KECIL DUN PENANTI

Syabas kepada jentera pilihan raya Pakatan Rakyat yang berusaha keras memastikan kemenangan Sdr Mansor Othman. Setinggi-tinggi penghargaan saya ucapkan buat pengundi Penanti.

Alhamdulillah dalam jangka masa 14 bulan ini, tiga kali pengundi Penanti menghadapi pilihan raya, dan masih tetap tidak berganjak untuk menyokong agenda Perubahan Pakatan Rakyat. Keputusan Pilihan Raya Kecil ini membuktikan KEADILAN masih mendapat sokongan majoriti penduduk Penanti.

Hari ini penduduk Penanti telah membuat keputusan bijak dengan memilih Sdr Mansor sebagai wakil mereka dan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang. Semoga dengan perlantikan ini beliau akan menunaikan amanah yang diberikan serta berkhidmat bersungguh-sungguh demi Rakyat.


ANWAR IBRAHIM
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...